Suspek IS diburu, dibunuh selepas serangan Iran


Menteri Iran berkata sekurang-kurangnya 41 suspek IS ditahan sejak serangan berkembar pengganas di Tehran minggu lalu. – Gambar fail AFP, 12 Jun, 2017.

IRAN memburu dan membunuh beberapa suspek pengganas termasuk dalang yang dikatakan bertanggungjawab dalam serangan berkembar di Tehran minggu lalu, kata pegawai keselamatan dan menteri.

Berdozen suspek ditahan selepas serangan pada rabu lalu yang menyaksikan 17 terbunuh dalam serangan pertama di Iran yang dikatakan dilakukan oleh kumpulan militan IS.

Lewat petang semalam, polis membunuh empat suspek IS di wilayah selatan Hormozgan, lapor agensi berita ISNA, memetik kenyataan ketua polis Azizollah Maleki.

“Dua daripada penjenayah yang terbunuh itu ialah warganegara asing sementara identiti ahli lain sedang disiasat,” kata Maleki, menambah senjata dan bendera IS turut dirampas dalam serbuan itu.

Iran berkata lima warga Iran yang menyertai IS dan pergi ke Iraq dan Syria melakukan serangan di parlimen dan makan pemimpin revolusi Ayatollah Ruhollah Khomeini.

Pada Sabtu, menteri risikan Mahmoud Alavi berkata dalang yang dikatakan menggerakkan serangan itu berjaya dijejaki dan terbunuh di luar negara itu.

“Dalang yang mengawal pasukan itu, yang melarikan diri ke luar negara, sudah terhukum, menerusi kerjasama khidmat risikan beberapa negara bersekutu,” kata Alavi menerusi siaran televisyen negara tetapi tidak memberikan maklumat lanjut.

Alavi berkata sekurang-kurangnya 41 suspek IS ditahan sejak serangan itu dan Iran berjaya membubarkan sel pengganas yang semakin meningkat dalam tempoh beberapa bulan lalu. – AFP, 12 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen