.jpg)
Saya tertarik untuk menjawab soalan hamba Allah yang hanya dikenali sebagai Razali Zali (tidak pasti nama sebenar) dari Kuala Terengganu.
Soalannya muncul pada ruang komen dalam rencana saya berjudul “Ayat-ayat Tahyul Nik Abduh” yang disiarkan oleh malaysiakini. Rencana itu juga disiarkan di roketkini dan The Malaysian Insight.
Saya tak memilih, siapa yang bertanya itu tak penting, yang penting inti soalannya. Saya rasa dia jujur bertanya. Maka saya dengan jujur, cuba menjawabnya.
Terus kepada soalan beliau. Mengenai mengapa sebagai Muslim dan Melayu, saya menyertai DAP. Soalan ini dah berulang kali ditanya sebenarnya.
Yang bertanya itu mungkin dihatinya sudah terpahat pendirian bahawa DAP sebagai satu parti politik yang sangat asing buat orang Melayu dan Islam.
Sekular
Ringkasnya begini, antara sebab mengapa saya memilih DAP adalah kerana DAP bukan parti yang berasaskan apa-apa agama, baik Islam, Kristian atau Buddha.
Bagi saya, sifat semua parti politik adalah sama termasuk PAS, iaitu sekular. Parti politik bukan agama apatah lagi wahyu.
DAP sentiasa mengelakkan politiknya daripada menggunakan hujah atau “platform” agama untuk mencapai keuntungan politik, baik untuk menang pilihanraya atau memerintah. Kerana apa?
Sifat benda yang sekular ini adalah tak sempurna, kerana ia wujud dari pemikiran dan pandangan manusia, ia boleh diubah mengikut masa atau kesesuaian. Berbeza dengan agama yang bersifat kekal daripada segi asas, surah dan amalan atau ritualnya.
Jika parti politik mengambil sifat agama ke dalam organisasi kepartian, ia terdedah untuk mengubah asas agama atau merosakkan tujuan beragama. Kerana apabila pemimpin itu berceramah politik, kata-kata politik itu akan disamakan dengan “ayat” Tuhan.
Ini masalahnya, kita manusia, tak sempurna sifatnya walau kamu seorang lebai atau ustaz.
Justeru, saya memilih parti yang tidak menggunakan agama untuk tujuan politik. Biar saya bebas bercakap dan rakyat pun bebas mengkritik pemimpin, parti atau saya sendiri.
Bukankah ianya jelas?
Sebaliknya, saya tak mahu memilih parti yang menggunakan hujah agama yang akhirnya akan menghalang orang lain daripada mengkritik diri, parti dan pemimpinnya.
Jika kamu kritik saya, adakah saya akan bilang kamu terkeluar dari Ahli Sunnah?
Saya tak akan kata begitu pun.
Tetapi, bagaimana pula nasib mereka yang mengkritik Haji Hadi atau PAS, tak pasal-pasal pengkritik itu dikatakan anti Islam, tolak hadis, tolak Quran sebab Haji Hadi ni ulamak. Alamak!
Nampak tak, ia sangat mudah mengelirukan rakyat? Ini benda paling asas, bukan falsafah tinggi pun.
Saya tidak menjawab soalan ini untuk “suci” kan DAP atau bagi pihak DAP.
DAP nak menang pilihanraya ke, nak bertanding dimana ke, itu parti punya pasal.
Tetapi saya menjawab ini biar saya dan penyoal jelas akan asas dan tujuan kita berpolitik.
Nak sokong ke, nak bangkang ke, nak jadi ahli ke, itu hak anda.
Ditanya mengenai apa sumbangan DAP kepada Islam?
Yang bertanya mungkin kurang minat membaca atau ambil tahu, tak mengapa.
Sekalipun parti Umno membina banyak masjid atau surau, itu kerana parti itu telah menjadi sebuah kerajaan persekutuan. Kerajaan bina masjid, bukan dari duit poket pemimpin, tetapi dari hasil cukai kita termasuk cukai dari golongan bukan-muslim.
Tugas semua kerajaan adalah menyediakan keperluan untuk rakyatnya, baik masjid, mahkamah, jalan raya, sekolah, bekalan air bersih dan sebagainya. Bukan tugas parti politik.
Tugas parti politik ialah untuk mencari sokongan, meluaskan pengaruh dan menang pilihanraya. Bila dah menang dan jadi kerajaan barulah ia berperanan untuk maksud di atas.
Mereka tidak boleh lari daripada tugas tersebut.
DAP, sebagai kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang telah menyumbang sebanyak RM 457 juta sejak 9 tahun memerintah Pulau Pinang.
Bagi elaun guru kafa, bina mahkamah syariah, sumbangan masjid surau, itulah, inilah.
Justeru itu, adakah ini bukti DAP telah berbakti kepada Islam dan Muslim?
Pernahkah kita Muslim bertanya, banyak mana pula kerajaan beri bantuan kepada agama lain sebagai satu langkah yang adil kepada semua agama?
Segala peruntukan ini, bagi orang Umno itu sumbangan kerajaan, bukan parti DAP.
Yang ini tahu pula mereka bezakan antara tugas parti dan kerajaan.
Malah mereka juga mendakwa, segala sumbangan kerajaan Pulau Pinang ke atas agama Islam hanyalah sekadar nak meraih undi dan sokongan Melayu Islam.
Akhirnya, jika sudah siap di hati untuk membenci DAP, apa dibuat pun tetap akan dilihat buruk, ini realiti huduh wajah kita.
Syiar Islam
Yang memajukan syiar Islam ialah penganutnya sendiri, bukan Lim Guan Eng, bukan Najib Razak bukan ahli politik.
Yang mengimarahkan masjid (yang dibina sesebuah kerajaan ) itu adalah ahli qariah tempatan dan penganut agama itu sendiri. Bukankah konteksnya cukup mudah untuk difahami.
Saya cuba menerangkan kepada hamba Allah bernama Razali Zali, parti politik itu hanyalah suatu alat bagi kita untuk kita mengurus punca ekonomi yang terhad dengan cara yang adil dalam maksud memenuhi kehendak rakyat yang tidak pernah ada hadnya.
Sistem kita ini adalah sistem sekular, yang membenarkan semua parti wujud sesuai dengan perlembagaan negara termasuk PAS dan DAP.
Tujuannya tetap sama iaitu, mana-mana parti yang naik menjadi kerajaan, mereka wajib mengurus rakyat dan khazanah negara dengan adil dan amanah.
Mana ada kerajaan, tugasnya hanya bina masjid saja.
Soal agama dan taqwa itu soal individu. Kalau nak tingkatkan iman dan taqwa, setiap Muslim dari kalangan kita bermujahadahlah dalam hidup, bulan puasa ini waktu yang terbaik.
Sistem sekular kita ini melindungi hak setiap penganut agama untuk beribadah dengan selesa dan bebas. Termasuk hak untuk berpuasa dan mengedar kurma kepada rakyat. – 12 Jun, 2017.
* Mahdzir Ibrahim ialah pembaca The Malaysian Insight. Beliau ialah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen