PARTI Presiden Perancis Emmanuel Macron berada dalam landasan untuk menang majoriti kerusi parlimen selepas pusingan pertama pengundian Dewan Negara pada Ahad yang menyaksikan parti tradisional lain ketinggalan jauh di belakang.
Jangkaan menunjukkan yang Macron bakal meluaskan revolusi politiknya apabila partinya Republique en Marche (REM) dan sekutunya MoDen dijangka memenangi antara 400 hingga 445 kerusi daripada 577 kerusi Dewan Negara dalam pusingan kedua nanti.
Kejayaan itu memberikan Macron salah satu majoriti parlimen terbesar sejak 60 tahun lepas.
“Perancis sudah kembali,” kata Perdana Menteri Edouard Philippe.
“Sejak beberapa bulan lepas, presiden menunjukkan keyakinan, kesediaan dan keberanian di Perancis dan pentas antarabangsa,” kata Phillippe lagi dan menggelarkan keputusan itu sebagai pengesahan kepada “strategi kemenangan” Macron.
Tetapi pengundian juga dicemari dengan kadar keluar mengundi yang rendah hanya pada 49%, kemungkinan mencerminkan bantahan pembangkang Macron yang sudah mengaku kalah dalam kejayaan presiden Perancis itu yang sudah tidak dapat dihalang lagi, kata pakar.
Republikan yang berhaluan kanan mengharapkan dapat kembali bangkit daripada kekalahan memalukan dalam pilihan raya presiden sebelum ini juga ketinggalan jauh dibelakang dengan jangkaan hanya memenangi 70-130 kerusi dan parti National Front (NF) pimpinan Marine Le Pen pula hanya dijangka memenangi antara satu hingga 10 kerusi.
Kekalahan FN dianggap sebagai pergelutan parti itu untuk kembali bangkit daripada kekalahan memalukan Le Pen kepada Macron dalam pemilihan presiden sebelum ini.
Kekalahan paling besar pula dialami pemegang kerusi presiden sebelum Macron, parti Sosialis pimpinan Francois Hollande dan sekutunya yang dijangka gagal mempertahankan lebih 200 kerusi.
Ketua parti itu Jean-Christophe Cambadelis dan Benoit Hamon yang sebelum ini tewas dalam kempen presiden turut gagal mempertahankan kerusi mereka.
Cambadelis merayu kepada pengundi untuk menyokong pesaing Macron bagi mengelakkan presiden memonopoli kuasa ketika kekalahan partinya tidak dapat dielakkan lagi.
Parlimen berdepan risiko “tidak mempunyai kuasa pengimbang dan tiada perdebatan demokratik yang sebenar,” dia memberikan amaran.
Keputusan akhir rasmi yang diumumkan awal hari ini menunjukkan parti Macron yang baru ditubuhkan tahun lepas dan MoDem memenangi 32.32 peratus dalam pusingan pertama, meninggalkan Republikan yang hanya memenangi 21.56 peratus dan FN 13.20 peratus. Pihak Sosialis dan sekutunya pula hanya memperolehi 9.51 peratus sementara puak pelampau haluan kiri dan komunis memenangi 13.74%.
Sekiranya tiada pihak memenangi lebih 50%, dua pesaing utama dengan peratusan tertinggi akan masuk ke dalam pusingan kedua- bersama-sama calon lain yang memperolehi sekurang-kurangnya undian 12.5% daripada pengundi berdaftar di kawasan mereka.
Macron, presiden termuda Perancis yang hanya berusia 39 tahun itu sebelum ini meraih pujian kerana melantik ahli kabinet yang merangkumi pemimpin haluan kanan dan kiri serta menerajui serangan balas Eropah kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam isu pemanasan global.
Macron yang tidak pernah dipilih memegang jawatan sebelum menjadi presiden juga berjaya mewujudkan parlimen yang lebih muda dan beragam dengan lebih ramai wanita dan kaum minoriti dipilih.
Partinya meletakkan calon baru di sekitar 200 kawasan perwakilan. – AFP, 12 Jun, 2017.
Komen