PERIKATAN Nasional (PN) menolak cadangan perjanjian kerajaan mengenai peruntukan kawasan pilihan raya untuk ahli Parlimennya, kata ketua pembangkang Hamzah Zainudin.
Beliau berkata antara empat sebab penolakan itu ialah beberapa syarat yang dikenakan ke atas mereka boleh menjejaskan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.
Hamzah juga berkata draf memorandum persefahaman kerajaan juga mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral, agama dan tempatan.
“Ketiga, ia boleh disalah tafsir dan membawa kepada salah guna kuasa. Draf MOU itu juga tidak mempunyai mekanisme yang jelas dan keadaan ini boleh membuka jalan kepada sebarang pelanggaran, mungkir janji, atau ketidakpatuhan ex-parte.
“Keempat, draf MOU ini juga mengandungi perkara yang dilihat menyekat kebebasan bersuara ahli parlimen, di mana setiap ahli parlimen mempunyai hak dan imuniti untuk bersuara bagi pihak rakyat mengikut Akta 347 Akta Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952,” kata Hamzah dalam satu kenyataan.
Katanya, PN menerima dua set draf MOU daripada kerajaan berkaitan peruntukan kepada ahli parlimen PN. Satu adalah antara kerajaan Malaysia dan gabungan PN, dan yang kedua antara kerajaan Malaysia dan semua ahli Parlimen PN.
“Kami membuat keputusan sebulat suara untuk menolak MOU atas empat sebab asas ini,” kata Hamzah.
Beliau berkata PN juga telah mengingatkan kerajaan bahawa manifesto pilihan raya Pakatan Harapan berjanji untuk menyediakan dana pembangunan kawasan secara sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti mereka.
Semalam, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata perjanjian yang ditawarkan kepada mereka adalah luar biasa dan rumit.
“Kami mengadakan beberapa mesyuarat dan memutuskan antara lain, MOU yang dicadangkan itu agak luar biasa dan rumit, bukan yang benar-benar bertujuan untuk membantu wakil rakyat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kerajaan akan menunggu surat rasmi daripada pembangkang berhubung laporan penolakan MoU mengenai peruntukan pembangkang.
Katanya, dia hanya mengetahui tentang penolakan itu menerusi laporan media.
“Saya akan tunggu notis bertulis rasmi daripada mereka, dan sebaik sahaja kita menerimanya, saya akan bawa ke peringkat jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan, di mana kita akan membincangkannya dengan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Fadillah berkata apa yang dibentangkan hanyalah draf MoU, dan beliau berharap pembangkang akan memberikan cadangan balas mengenai perkara yang mereka tidak bersetuju dalam draf itu. – 15 September, 2024.
Komen