Satu lawan satu, BN dan Perikatan di Mahkota


PRK Mahkota di Kluang, Johor akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2024.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Mahkota di Kluang, Johor akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

BN diwakili Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sementara calon PN adalah bekas pemain bola sepak Johor FA, Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Syed Hussein menyerahkan borang penamaan calon pada 9 pagi sementara Haizan menghantar borang lima minit kemudian.

Nama calon yang layak diumumkan oleh pegawai pengurus Azurawati Wahid di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di Kluang.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Pada pilihan raya negeri Johor pada 2022, Sharifah menang dengan 5,166 undi majoriti menewaskan calon Amanah, Taqiuddin Cheman dalam perlawanan empat penjuru termasuk calon PN dan Warisan.

Seramai 66,318 pengundi berdaftar di Mahkota, termasuk 4,510 anggota tentera dan pasangan, 401 polis dan 10 pendaftar di luar negara.

Calon diberi masa 14 hari untuk berkempen, hingga 11.59 malam 27 September, diikuti dengan hari mengundi pada 28 September dengan mengundi awal ditetapkan 24 September.

PRK Mahkota adalah PRK ke-10 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Sebelum ini, PRK Kuala Terengganu diadakan diikuti PRK Simpang Jeram dan PRK Pulai di Johor, PRK Pelangai (Pahang), PRK Jepak (Sarawak), PRK Kemaman (Terengganu), PRK Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK Nenggiri (Kelantan). – 14 September, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen