KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang akan melepaskan jawatannya sebagai pengerusi DAP negeri minggu depan, berkata adalah lebih baik jika perwakilan yang memilih siapa bakal mengetuai parti di negeri itu selepas ini.
Chow menerajui parti itu selama 25 tahun di Pulau Pinang.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang mencadangkan “cai” mencalonkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim sebagai pengganti Chow dan dibantu Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ling, Chow berkata terpulang kepada perwakilan untuk memilih.
“Ia cadangan yang boleh dipertimbangkan sebagai masa depan parti. Saya percaya setiausaha agung menilai pilihan ini dengan baik sebelum mencadangkannya,” kata Chow kepada Bulletin Mutiara.
“Akhirnya, ia terpulang kepada perwakilan untuk membuat keputusan akhir.”
Loke dalam temubual dengan akhbar Kwong Wah Yit Poh mencadangkan dua nama itu, berkata gabungan dua kepimpinan berkenaan akan mengukuhkan parti.
Pemilihan DAP negeri dijadualkan pada 22 September.
Sim dan Lim, dianggap sebagai anak didik kepada Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang memilih untuk tidak mencampuri pemilihan itu dan mengelak daripada membuat kenyataan umum.
Sim adalah setiausaha organisasi kebangsaaan DAP sementara Lim adalah adik kepada Guan eng.
Sementara itu, veteran parti mengakui pemilihan negeri pada Ahad depan bakal sengit dengan kira-kira 1,000 perwakilan dari lebih 200 cawangan menentukan masa depan kepimpinan parti di negeri yang didominasi DAP sejak 2008. – 14 September, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen