PILIHAN RAYA Kecil (PRK) DUN Mahkota bermula hari ini dengan penamaan calon diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di Kluang, lapor bernama.
Mahkota adalah satu daripada dua kerusi DUN di kawasan Parlimen Kluang.
Proses penamaan calon bermula 9 pagi dengan bakal calon diberikan tempoh sejam untuk menyerahkan borang pencalonan, diikuti dengan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid mengumumkan nama calon yang layak kira-kira jam 11 pagi.
Barisan Nasional (BN) mengumumkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai wakil Kerajaan Perpaduan pada PRK itu manakala Perikatan Nasional (PN) memilih bekas pemain bola sepak Johor FA, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.
Calon diberi masa 14 hari untuk berkempen, hingga 11.59 malam 27 September, diikuti dengan hari mengundi pada 28 September dengan mengundi awal ditetapkan 24 September.
PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
PRK Mahkota adalah PRK ke-10 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Sebelum ini, PRK Kuala Terengganu diadakan diikuti PRK Simpang Jeram dan PRK Pulai di Johor, PRK Pelangai (Pahang), PRK Jepak (Sarawak), PRK Kemaman (Terengganu), PRK Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK Nenggiri (Kelantan). – 14 September, 2024.
Komen