PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa berkaitan termasuk jabatan dan majlis agama Islam untuk segera menyiasat serta mengambil tindakan yang sesuai berhubung dakwaan salah laku oleh GISB Holdings Sdn Bhd.
Anwar berkata siasatan dan tindakan ini adalah penting dan tidak boleh ditangguhkan kerana isu ini melibatkan penyalahgunaan kuasa, agama dan eksploitasi kanak-kanak.
“Biarkan polis menyiasat dan mengambil tindakan yang sesuai mengikut undang-undang. Pihak berkuasa agama terutamanya di wilayah persekutuan (Jawi) dan Selangor (Jais) serta Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) juga boleh memberi nasihat.
“Jangan tangguh. Ramai yang bertanya mengapa ada kelewatan atau penangguhan dalam mengambil tindakan. Jadi saya membawa perkara ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera dan laporan,” katanya yang dilaporkan Bernama hari ini.
Hari ini Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata 13 daripada ratusan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah perlindungan di Selangor dan Negeri Sembilan didakwa telah diliwat.
Razarudin berkata pemeriksaan perubatan mengesahkan penderaan tersebut. Empat kanak-kanak pada awalnya disangka didera tetapi lebih banyak kes ditemui semasa pemeriksaan diteruskan.
“Selepas pemeriksaan lanjut kami mengenal pasti sembilan lagi kanak-kanak,” kata Razarudin.
Polis sedang menjalankan saringan ke atas 392 kanak-kanak, manakala 10 kanak-kanak autistik, kurang upaya dan sakit diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Rabu lalu dilaporkan seramai 402 kanak-kanak - 201 lelaki dan 201 perempuan yang berusia antara satu hingga 17 tahun diselamatkan semasa serbuan polis yang dinamakan ‘Ops Global’ di 20 rumah kanak-kanak di seluruh Selangor dan Negeri Sembilan dikaitkan dengan GISB yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak di bawah nama agama.
Razarudin juga berkata 171 individu termasuk pengajar, penjaga asrama, dan ketua pusat pendidikan yang berusia antara 17 hingga 64 tahun turut ditangkap untuk membantu siasatan. – 13 September, 2024.
Komen