Perlu ada pertimbangan wajar dalam isu halal, kata kumpulan perniagaan


Kumpulan perniagaan tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk menjadikan sijil halal sebagai mandatori bagi restoran bukan Muslim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2024.

KEPUTUSAN sama ada untuk memohon sijil halal harus diserahkan kepada pengendali restoran dan bukan di tangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata sebuah kumpulan perniagaan.

Presiden Persatuan Perniagaan India Johor (JIBA) P Sivakumar berkata mereka tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk menjadikan sijil halal sebagai mandatori bagi restoran bukan Muslim.

“Kami berharap ada pertimbangan wajar akan mengatasi situasi ini dan sebarang keputusan hanya diambil selepas pertemuan dengan semua pihak berkepentingan.

“Jakim perlu mengadakan dialog dengan semua pihak berkepentingan sebelum mereka mengemukakan kepada kelulusan Kabinet untuk menjadikannya wajib bagi sebarang rancangan sijil halal mandatori untuk restoran bukan Muslim.

“Kami juga berpendapat Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu terlibat untuk memastikan hak untuk memohon sijil tersebut benar-benar terletak pada pihak restoran untuk membuat keputusan,” kata Sivakumar kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata pemimpin politik tidak seharusnya dikritik atau disiasat kerana mengeluarkan komen mengenai isu semasa.

Beliau merujuk kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang menerima kecaman daripada pemimpin Umno dan Bersatu kerana menyatakan sijil halal tidak seharusnya diwajibkan.

Anwar juga berkata beliau tidak berpuas hati dengan kenyataan Kok dan menambah perkara tersebut seharusnya dibangkitkan secara dalaman.

Kok kini juga sedang berhadapan dengan siasatan polis selepas 50 laporan dibuat terhadapnya.

Pada 5 September Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata Jakim sedang mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan sijil halal mandatori bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan babi dan alkohol.

Isu ini mencetuskan kontroversi apabila Kok memberi respons bahawa pelaksanaan sijil halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengendali membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran. – 13 September, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen