PROSES temubual melibatkan 402 kanak-kanak yang diselamatkan dari 18 rumah jagaan yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services dan Business Holdings (GISB) masih berada di peringkat awal.
Menurut The Star, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata proses ini dijangka akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu.
“Dalam tempoh ini kanak-kanak akan ditempatkan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di mana temubual dan proses dokumentasi boleh dijalankan,” katanya.
Sementara penyiasat akan menyiasat dakwaan serangan seksual dan liwat, Razarudin berkata perhatian khusus akan diberikan semasa temubual dengan kanak-kanak yang didakwa dieksploitasi.
“Selain itu kami akan memeriksa sama ada kanak-kanak tersebut bersekolah dan jika tidak, ia adalah satu kesalahan.
“Jika sekolah atau pusat jagaan yang mereka hadiri tidak mempunyai lesen, itu juga adalah satu kesalahan,” katanya.
Beliau menambah polis akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberikan kaunseling dan sokongan emosi kepada kanak-kanak tersebut.
“Sekali lagi ini masih di peringkat awal jadi kita perlu mengambil langkah demi langkah dan memandangkan ia melibatkan kanak-kanak, kita perlu berhati-hati,” katanya.
Kanak-kanak tersebut didakwa diliwat dan dipaksa untuk melakukan perkara sama kepada orang lain di rumah jagaan di Selangor dan Negeri Sembilan yang diserbu oleh polis.
Razarudin berkata ini hanya permulaan kepada penderaan mengerikan yang didakwa dialami oleh kanak-kanak di rumah-rumah yang dikaitkan dengan GISB.
Semalam polis menyelamatkan 402 kanak-kanak bawah umur yang sebahagian daripada mereka didakwa dieksploitasi dan didera termasuk secara seksual dalam operasi besar-besaran di dua negeri yang dinamakan Op Global.
Seramai 201 kanak-kanak lelaki dan 201 kanak-kanak perempuan diselamatkan dari 18 rumah kebajikan di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.
Kesemua mangsa adalah warga tempatan dan diselamatkan antara jam 6 pagi hingga 11 pagi.
Razarudin berkata seramai 171 individu yang berusia antara 17 hingga 64 tahun termasuk penjaga, ustaz (guru agama), dan pengerusi premis ditangkap semasa serbuan serentak di rumah kebajikan di kedua-dua negeri tersebut. – 12 September 2024.
Komen