Muda tidak akan bertanding PRK Mahkota


Muda tidak akan bertanding di PRK Mahkota dan akan memberi tumpuan kepada pengukuhan sokongan akar umbi di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September 2024.

MUDA memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota yang akan datang di Johor.

Muda Johor dalam satu kenyataan berkata mereka akan memberi tumpuan kepada pengukuhan sokongan akar umbi di negeri itu.

Mereka berkata keputusan untuk tidak bertanding dibuat selepas perbincangan dengan kepimpinan nasional parti.

“Untuk masa ini kami ingin menumpukan kepada lawatan kami ke seluruh daerah di Johor sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk menguatkan akar umbi parti dan meremajakan parti dengan matlamat untuk memperluaskan kehadiran kami di seluruh negeri.

“Kami juga akan bertindak sebagai semak dan imbang dalam memperjuangkan isu-isu tempatan termasuk memberi suara kepada penduduk tempatan melalui Ahli Parlimen Muar dan Adun Puteri Wangsa,” katanya.

Dua wakil rakyat yang disebutkan adalah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Amira Aisya Abd Aziz.

PRK Mahkota akan diadakan pada 28 September.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal adalah pada 14 dan 24 September.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi Sharifah Azizah Syed Zain yang berusia 63 tahun pada 2 Ogos lalu.

Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah dinamakan sebagai calon kerajaan manakala Perikatan Nasional memilih pemain bola sepak separa profesional Mohd Haizan Jaafar untuk bertanding dalam pilihan raya ini. – 12 September 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen