BEKAS pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengedar 305 gram dadah jenis ganja.
Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M Arunjothi.
Beliau bagaimanapun menganggukkan kepala tanda faham pertuduhan yang dibacakan.
Yusoff didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B(2) membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta di depan ibu pejabat polis Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September.
Tertuduh diwakili peguam Rafique Rashid Ali dan pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sabri Othman.
Mahkamah menetapkan 12 November untuk sebutan semula kes dan menunggu laporan daripada jabatan kimia.
Semalam, Rafique berkata Yusoff berada dalam tahanan polis sejak 6 September selepas ditahan oleh polis Kuala Lumpur yang menemui pistol dan dadah di dalam keretanya.
Dalam kenyataannya kepada polis selepas ditahan, Yusoff berkata senjata dan dadah itu diletakkan di dalam kereta oleh pihak yang berdendam dengannya.
“Mereka yang Yusoff maksudkan sudah pun dibekalkan nama serta kaitan penama tersebut dengan pimpinan politik negara.
“Yusoff juga risau keselamatannya tambahan kes sivil beliau sebelum ini terkait dengan individu berpengaruh dan masih berjalan,” kata Rafique.
Pada Julai 2021, Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar mendakwa perdana menteri itu melakukan serangan seksual terhadapnya.
Yusoff menuntut ganti rugi khas, umum, teruk, teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Anwar memfailkan tuntutan balas terhadap Yusoff dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu tidak benar dan berunsur rekaan semata-mata.
Anwar menerusi penyata pembelaan difailkan pada 28 September, 2021 mendakwa Yusoff menipu kepada pihak berkuasa berkaitan serangan seksual itu. – 12 September, 2024.
Komen