MENTERI Komunikasi Fahmi Fadzil menolak untuk menjawab soalan mengenai pemandu oku yang diserang sebaliknya meminta wartawan untuk merujuk soalan mereka kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
Jurucakap kerajaan itu ditanya sama ada Kabinet membincangkan kes tersebut dan mengenai memorandum yang menyeru penubuhan suruhanjaya siasatan terhadap kejadian itu.
“Agensi penguatkuasaan. Boleh rujuk agensi yang terlibat,” jawabnya ketika sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.
Minggu lepas Lawyers for Liberty (LFL) menyerahkan memorandum dan rakaman insiden serangan tersebut kepada Pejabat Perdana Menteri.
Hari ini Penasihat LFL N. Surendran bertanya sama ada kerajaan mengambil serius perkara tersebut selepas lebih 100 hari berlalu sejak Ong Ing Keong dipukul di muka oleh pengiring polis Tunku Ismail Sultan Ibrahim dari Johor.
“Apa justifikasi yang mungkin ada atas kegagalan mendakwa pelaku dan sesiapa yang bersubahat dengannya atau cuba menutup kes ini?” soalnya kepada Malaysiakini.
Surendran juga mempersoalkan Pejabat Perdana Menteri yang berdiam diri mengenai memorandum tersebut yang mengandungi lima tuntutan.
Sementara itu Fahmi juga ditanya mengenai kontroversi yang melibatkan radio HotFM.
“Ini boleh dirujuk kepada Media Prima. Ini bukan agensi saya,” katanya merujuk kepada konglomerat media dan hiburan yang memiliki stesen radio bahasa Melayu yang popular itu.
Semalam bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin mengusik Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam rancangan radio Hot FM.
Walaupun beliau tidak menyebut nama, pilihan kata, nada dan gaya bekas pemimpin Umno itu nampaknya meniru perdana menteri.
“Saudara-saudara, hari ini saya menang, esok kita makan ramai-ramai,” kata Khairy sambil ketawa ketika mengulas mengenai kemungkinan memenangi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang akan datang. – 11 September 2024.
Komen