Muhyiddin kekal dituduh 4 kes salah guna kuasa berkaitan Jana Wibawa


Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin masih perlu berdepan perbicaraan bagi empat pertuduhan kes salah guna kuasa membabitkan nilai RM232.5 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2024.

BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin akan masih perlu berdepan perbicaraan bagi empat pertuduhan kes salah guna kuasa membabitkan nilai rasuah RM232.5 juta.

Ia susulan Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonannya untuk menyemak keputusan mahkamah untuk mengembalikan empat pertuduhan itu.

Panel lima hakim diketuai Hakim Azizah Nawawi menolak permohonan Muhyiddin bagi semakan semula keputusan itu.

Pada 15 Ogos, 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Muhyiddin, 77, daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Bagaimanapun, pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Pada 29 Februari, Muhyiddin memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengembalikan empat pertuduhan itu terhadapnya.

Tetpai pada 29 Mac, beliau menarik balik rayuan itu berikutan kes itu tidak boleh diteruskan di Mahkamah Persekutuan kerana ia bermula di Mahkamah Sesyen.

Keputusan itu bermakna keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 28 Februari yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Muhyiddin daripada pertuduhan itu, kini dikekalkan.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai perdana menteri ketika itu dan presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Pertuduhan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac, 2020 dan 20 Ogos, 2021.

Selain empat pertuduhan itu, Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu. – 11 September, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen