Malaysia di landasan untuk jadi ‘Harimau Asia’, kata menteri


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata neara berada di landasan untuk muncul sebagai “Harimau Asia”. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2024.

MALAYSIA berada di landasan untuk muncul sebagai “Harimau Asia” dengan lima kelebihan unik bagi menarik pelaburan asing, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Nga berkata aspek kestabilan politik Malaysia adalah teras bagi menarik pelaburan dan kerajaan memberi panduan jelas melalui beberapa pelan tindakan strategik seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu.

Beliau berkata perancangan utama itu juga mula memberi hasil dengan ekonomi negara negara berada di landasan sewajarnya, termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengatasi jangkaan sejak dua suku lalu.

“Kepelbagaian budaya Malaysia pula memudahkan integrasi pelabur asing dengan kekangan bahasa yang minimum.

“Kewujudan sekolah antarabangsa berkualiti tinggi juga membolehkan pelabur membawa keluarga berpindah dan mempunyai rumah kedua di sini,” katanya dipetik daripada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara Konvensyen Usahawan Cina Sedunia (WCEC) ke-17 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi.

Nga turut menekankan kepentingan melindungi kalangan perusahaan kecil dan sederhana di tengah-tengah aliran masuk pelaburan asing itu.

“Apabila syarikat China melabur di Malaysia misalnya, mereka perlu menggaji 50% pekerja tempatan dan membenarkan 50% kepentingan ekuiti dipegang oleh perniagaan tempatan.

“Ini penting kerana walaupun kita mengalu-alukan pelaburan asing, syarikat tempatan juga harus dilindungi dan mendapat manfaat daripada pelaburan ini menerusi sinergi strategik,” katanya. – 11 September, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen