Kawasan Jalan Masjid India selamat dikunjungi, kata DBKL


Pada 23 Ogos, seorang wanita pelancong India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam 8 meter di Jalan Masjid India. – Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat, 11 September, 2024.

MESYUARAT Pasukan Petugas Khas Insiden Tanah Jerlus Masjid India memutuskan Jalan Masjid India dan bangunan sekitarnya selamat untuk dikunjungi, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL dalam satu kenyataan hari ini berkata berdasarkan kepada laporan daripada pelbagai agensi terbabit, insiden tanah jerlus di jalan itu adalah bersifat setempat.

“Merujuk kepada maklumat geologi dan rekod penyiasatan tanah sedia ada, lokasi insiden tanah jerlus terletak atas formasi Kenny Hills dan secara amnya terdiri daripada selang lapis batuan schist, phyllite dan quartzite,” kata kenyataan itu.

Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Insiden Tanah Jerlus Masjid India hari ini dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif Perngurusan Projek DBKL Mohamad Hamim.

Mesyuarat dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) dan Indah Water Konsortium (IWK).

Turut hadir Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Institusi Jurutera Malaysia dan Pertubuhan Geoteknikal Malaysia.

DBKL berkata ia mengecilkan kawasan hoarding di tapak kejadian yang sebelum ini sepanjang 160 meter bermula dari Wisma Yakin sehingga Pondok Polis Jalan Masjid India.

Katanya, kawasan hoarding yang baharu akan dibahagkan kepada tiga bahagian iaitu dari susur masuk tempat letak kereta bawah tanah Wisma Yakin sehingga simpang Jalan Masjid India/Lorong Bunus 1.

Pada 23 Ogos, seorang wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India. – 11 September, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen