WANITA MCA menggesa semua pihak melihat ancaman kepada keselamatan kanak-kanak secara serius, walaupun ia hanya nampak seperti “remeh”.
Merujuk kepada insiden “Abang Bas”, Setiausaha Agung Wanita MCA Chan Quin Er berkata walaupun ada yang melihat tindakan pemandu bas itu sebagai bahan lawak, sebenarnya ia adalah sikap pengantunan seksual (grooming) yang membahayakan kanak-kanak jika tidak dibendung.
“Platform media sosial perlu bekerjasama dengan pihak penguatkuasa undang-undang untuk mencegah pesalah memuat naik bahan yang berbahaya. Perlu ada juga satu langkah bagi memantau akaun berbahaya bagi memastikan pesalah tidak boleh mengaksesnya,” katanya dalam satu kenyataan.
“Kerajaan juga patut menubuhkan pangkalan data kebangsaan atau senarai untuk individu yang terbabit dalam aktiviti pengantunan seksual, tidak kira apa juga status sabitan mereka.
“Pemantauan ini perlu termasuk komen awam berkenaan video terbabit, selain akaun yang mempertahankan pelaku.”
Baru-baru ini, seorang pemandu bas yang memuat naik video dirinya mencabul seorang pelajar perempuan di akaun TikTok “Abang Bas”, ditahan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga menyiasat pengikutnya yang meninggalkan komen di klip video itu.
Dilaporkan pengguna di X berkongsi beberapa tangkap layar posting TikTok itu, di mana pemandu bas terbabit merujuk pelajar yang dibawanya itu sebagai “crush” dan “kesayangan”.
Chan mendesak hukuman minimum mandatori bagi kesalahan membabitkan eksploitasi terhadap kanak-kanak di media sosial.
“Garis panduan kehakiman perlu memastikan mahkamah tidak mengurangkan hukuman berdasarkan dakwaan seperti ‘ia hanya bergurau’ atau ‘tidak berniat mencederakan’ apabila ia membabitkan kanak-kanak.
“Perbuatan ini adalah tanda awal pengantunan seksual, dan mengabaikan atau mempertahankan pelaku adalah berbahaya. Kita perlu mengambil serius isu ini,” katanya. – 10 September, 2024.
Komen