Fahmi arah SKMM tidak teruskan pelaksanaan semula penghalaan DNS


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata SKMM diminta tidak meneruskan arahan mewajibkan semua ISP di Malaysia melakukan penghalaan semula DNS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2024.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta untuk tidak meneruskan arahan mewajibkan semua penyedia perkhidmatan Internet (ISP) di Malaysia melakukan penghalaan semula Sistem Nama Domain (DNS).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata keputusan ini diambil selepas mempertimbangkan maklum balas yang diterima melalui siri pertemuan yang diadakan oleh SKMM dengan orang ramai.

Dalam satu hantaran di X beliau meminta SKMM menghentikan pelaksanaan rancangan tersebut yang sepatutnya dilaksanakan untuk perniagaan, perusahaan dan kerajaan menjelang akhir bulan ini.

Namun beliau berkata SKMM akan terus berinteraksi dengan semua pihak berkepentingan untuk mengumpul maklum balas dan cadangan mereka bagi mencapai matlamat bersama iaitu internet yang lebih selamat.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal ini, demi menjamin keselamatan dalam talian buat rakyat Malaysia khususnya kanak-kanak dan keluarga.

“Isu jenayah dalam talian termasuk akses ke laman web yang berkaitan dengan perjudian, pelacuran dan pornografi adalah sangat membimbangkan dan memerlukan penyelesaian yang menyeluruh,” katanya.

Bulan lalu SKMM berkata suruhanjaya tersebut akan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan mengenai beberapa langkah pencegahan termasuk pengurusan DNS untuk memastikan sekatan terhadap laman web yang berbahaya atau dilarang tetap berkuat kuasa.

Badannya yang mengawal selia itu berkata dari 1 Januari 2022 hingga 1 Ogos tahun ini sejumlah 10,423 laman web disekat kerana melanggar undang-undang. – 8 September 2024



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen