Malaysia boleh bentuk semula masa depan Bricks, kata bekas ahli Parlimen


Bekas ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff berkata permohonan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyertai Brics menandakan peralihan strategik dalam diplomasi antarabangsa negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2024.

PERMOHONAN Malaysia untuk menyertai blok ekonomi antara kerajaan Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (Brics) adalah langkah penting untuk menunjukkan kekuatan negara dalam kepelbagaian budaya dan toleransi terhadap pelbagai kaum dan agama, kata bekas ahli Parlimen.

Bekas ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff berkata permohonan dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini menandakan peralihan strategik dalam diplomasi antarabangsa negara ini.

Walaupun blok Brics secara tradisinya dilihat sebagai pakatan ekonomi, penyertaan Malaysia akan membawa ia kepada wawasan lebih luas dan dalam.

Anwar melihat Brics sebagai lebih daripada sekadar platform untuk kerjasama ekonomi, katanya dalam satu kenyataan.

Yusmadi berkata bagi Anwar ia adalah peluang untuk mencipta era baharu kepelbagaian budaya – yang membuka perspektif anggotanya kepada budaya dan ketamadunan berbeza dalam menangani cabaran global.

“Peluang ini bukan saja kemasukan Malaysia dalam Brics; ia turut menawarkan peluang untuk membentuk semula masa depan blok itu.

“Dengan mengguna pakai pendekatan antara tamadun, Brics boleh berkembang menjadi forum yang menangani isu global paling mendesak – daripada ketidaksamaan ekonomi kepada perubahan iklim – menerusi dialog, hormat dan kerjasama.

“Dalam rangka kerja ini, Malaysia bersama bakal ahli yang berpotensi seperti Turkiye boleh menjadi penting dalam menerajui Brics ke arah model pelbagai hala yang menghargai perspektif berbeza dalam pentadbiran global,” katanya.

Sejak penubuhannya, Brics hanya berfungsi sebagai pengimbang kepada institusi didominasi Barat seperti IMF dan Bank Dunia.

Walaupun blok itu mencapai banyak kejayaan membanggakan dalam kerjasama ekonomi, ia pada masa ini berada di persimpangan, kata Yusmadi.

Katanya, lanskap dunia semakin rumit dengan peningkatan ketegangan geopolitik, krisis alam sekitar dan bertambahnya ketidaksamaan. – 8 September, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen