DUA daripada tiga syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menunjukkan mereka mempunyai rizab simpanan bagi tempoh kurang enam bulan, menurut kaji selidik dijalankan baru-baru ini oleh persatuan.
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) yang mempunyai lebih 4,700 ahli di seluruh negara, berkata perusahaan itu melaporkan margin keuntungan terlalu kecil walaupun kira-kira 44% daripada PKS melaporkan pertumbuhan pendapatan.
Presiden Samenta William Ng berkata banyak PKS terjejas teruk akibat kos tambahan perniagaan dan mempertimbangkan untuk menaikkan harga jualan.
“Ini akan menjejaskan kaitan antara pertumbuhan jualan dan rizab tunai dan kesannya adalah margin keuntungan menjadi terlalu kecil, akibat daripada kenaikan kos bahan mental, tenaga dan gaji.
“Kesan daripada subsidi diesel ditarik balik, kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan inflasi gaji diikuti dengan masalah buruh berterusan, menjejaskan margin keuntungan PKS yang sedia kecil.
“Sebahagian kaji selidik PKS melaporkan margin keuntungan serendah 2% dan ramai yang kerugian walaupun angka jualan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata persatuan bimbang kerajaan mungkin beranggapan PKS dalam keadaan baik kerana ekonomi kukuh dan inflasi sederhana.
Ng berkata kaji selidik pada Julai itu menunjukkan banyak PKS melaporkan ramalan perniagaan untuk 2024 adalah suram. – 6 September, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen