Kawasan Jalan Masjid India selamat, kata datuk bandar KL


Pada 23 Ogos, seorang pelancong dari India hilang selepas terjatuh dalam lubang jerlus sedalam 8 meter di Jalan Masjid India. – Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat, 6 September, 2024.

DATUK Bandar Kuala Lumpur Dr Maimunah Mohd Sharif berkata keseluruhan kawasan di Jalan Masjid India di ibu kota adalah selamat untuk dikunjungi dan tiada kedai atau bangunan yang diarahkan untuk menutup operasi.

Maimunah berkata pada masa ini kawasan yang ditutup dengan penghadang hanya membabitkan laluan kira-kira 200 meter dari Wisma Yakin ke pondok polis bagi membolehkan kerja pemulihan dan pembinaan di lokasi insiden lubang jerlus berlaku.

“Sepanjang insiden ini, kami tidak mengarahkan mana-mana kedai ditutup, kami hanya tutup sebahagian kawasan itu. Orang ramai masih boleh datang di sepanjang jalan ini.

“Kami juga ada bertemu dengan persatuan penjaja di Jalan Masjid India semalam dan mengesahkan kawasan ini selamat,” katanya dipetik berkata kepada Bernama.

Pada 23 Ogos, seorang pelancong dari India, G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh dalam lubang jerlus sedalam 8 meter di Jalan Masjid India. Selepas sembilan hari, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan tanpa menemui mangsa. – 6 September, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen