Pengguna TikTok dilarang dekati tapak lubang benam, polis


Pelancong India G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas jatuh ke dalam lubang benam pada pagi 23 Ogos di Jalan Masjid India. – Gambar Facebook, 6 September, 2024.

POLIS memberi amaran kepada orang ramai untuk menjauhkan diri dan tidak membuat kandungan media sosial di tapak lubang benam di sepanjang Jalan Masjid India.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata beliau mengarahkan pegawainya untuk ditempatkan di tapak tersebut bagi memastikan agensi lain dapat melaksanakan kerja pembaikan tanpa gangguan.

“Kami tidak mahu orang ramai pergi ke tapak lubang benam dan membuat kandungan TikTok di sana. Sila jauhkan diri dari kawasan itu.

“Lubang di kawasan itu adalah kira-kira lapan hingga 10 meter dalam. Kami perlu mengingatkan orang ramai tapak tersebut berada di bawah pengawasan polis dan mereka tidak seharusnya membahayakan diri mereka sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam, menurut Bernama.

Dalam kejadian tersebut pelancong India G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas jatuh ke dalam lubang benam pada pagi 23 Ogos.

Misi pencarian dan penyelamatan untuk wanita tersebut yang dimulakan pada hari sama dihentikan sembilan hari kemudian selepas kerajaan menilai laporan daripada semua agensi yang terlibat dalam operasi tersebut.

Mengenai tanah runtuh di Wangsa Maju, Rusdi berkata ujian tanah sedang dijalankan sebelum pemasangan cerucuk di sepanjang tebing yang terjejas.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis untuk 14 rumah supaya dikosongkan manakala tiga rumah masih selamat untuk didiami,” katanya.

Hujan lebat pada 22 Ogos menyebabkan sebahagian daripada dinding penahan di Taman Bunga Raya berhampiran Kem Wardieburn runtuh menyebabkan evakuasi segera 52 penduduk dari 17 rumah teres. – 6 September, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen