SERAMAI 11 individu termasuk tiga rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Filipina selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram pada Ahad lepas akan diterbangkan ke Manila pagi esok.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail ketika mengesahkan perkara itu berkata selain rakyat Malaysia, lapan individu lagi adalah warga China.
Beliau berkata mereka akan menjalani proses dokumentasi terlebih dahulu sebelum dihantar pulang.
“Selebihnya empat lagi warganegara Malaysia masih ditahan di selatan Filipina untuk proses siasatan pemilikan bot,” kata Saifuddin kepada media selepas Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024 di Kota Kinabalu hari ini.
Ahad lalu, pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu terdiri daripada tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China, selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram dengan menaiki bot laju.
Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun mengesahkan semua yang ditahan itu berada dalam keadaan sihat.
Menurut laporan media, 11 yang akan diterbangkan di Manila esok adalah pelancong yang sedang bercuti di Semporna dan didakwa memancing di perairan Malaysia sebelum bot yang dinaiki memasuki perairan Filipina secara tidak sengaja.
Pesuruhjaya Biro Imigresen (BI) Filipina Norman Tansingco dilaporkan berkata mereka ditahan di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di wilayah selatan negara itu.
Susulan kejadian tersebut, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggantung lesen operasi agensi pelancongan yang disyaki mengoperasikan bot laju hingga memasuki perairan Filipina secara haram. – 5 September, 2024.
Komen