PENGERUSI DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow memutuskan untuk tidak menyertai pemilihan parti negeri pada 22 September ini.
Pada sidang media khas, Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata beliau telah memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan pengerusinya walaupun dimaklumkan dalam surat daripada ibu pejabat DAP pada 27 Ogos bahawa beliau telah dicalonkan.
“Selepas banyak pertimbangan, saya memutuskan untuk tidak menerima pencalonan untuk bertanding,” katanya sambil menambah bahawa beliau akan menamatkan tempohnya sebagai ketua menteri Pulau Pinang.
Ini katanya, disahkan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.
Chow berkata masa itu adalah tepat kerana pengerusi negeri baharu akan mempunyai lebih daripada tiga tahun untuk memimpin dan mempersiapkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Saya percaya perwakilan akan memilih jawatankuasa negeri yang kukuh untuk meneruskan misi politik parti di negeri ini,” katanya.
Ahli Parlimen Batu Kawan itu juga menegaskan beliau masih akan menjadi naib pengerusi DAP walaupun telah meninggalkan kepimpinan parti negeri.
Chow turut merakamkan penghargaan kepada parti dan ahli kerana menyokongnya dan memberi peluang kepadanya berkhidmat sebagai pengerusi DAP negeri sejak 25 tahun lalu.
Mengenai kemungkinan calon untuk menggantikannya, Chow berkata perwakilan akan menentukannya pada pemilihan parti 22 September.
Pulau Pinang mencipta sejarah dengan menjadi negeri pertama di negara ini yang membentang dan meluluskan usul yang menetapkan had dua penggal jawatan ketua menteri pada November 2018.
Ini adalah penggal kedua Chow sebagai ketua menteri.
Sementara itu, Loke dalam satu kenyataan berkata beliau menyedari keputusan Chow untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang.
“Saya menghormati keputusan dan pendirian beliau untuk melakukan pembaharuan dalam kepimpinan DAP Pulau Pinang selepas beliau memimpin jawatankuasa negeri DAP Pulau Pinang selama 25 tahun.
“Sebelum pengumuman hari ini, beliau telah membincangkan hasratnya dengan saya. Perlu ditegaskan bahawa keputusannya hari ini tidak menjejaskan pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang.
“Beliau akan terus memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sehingga akhir penggal ini mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri yang mengehadkan jawatan Ketua Menteri kepada maksimum dua penggal,” katanya. – 4 September, 2024.
Komen