SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan 32,676 kandungan penipuan atau scam dalam talian antara Januari hingga 15 Ogos.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan 6,297 berbanding tahun lalu.
Menurut laporan Bernama Teo berkata Malaysia kerugian RM3.18 bilion akibat penipuan dalam talian antara 2021 dan April 2024 tetapi percaya jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
“Peningkatan jumlah kes serta kerugian yang berkaitan menunjukkan prevalens jenayah siber meningkat pada kadar membimbangkan walaupun terdapat usaha dan keterlibatan berterusan dengan penyedia platform media sosial,” katanya.
Teo berkata kesannya platform media sosial menjadi domain utama untuk kandungan yang dijana kecerdasan buatan (AI) dan alternatif berdaya maju menjadi terhad justeru beliau percaya sudah tiba masa untuk mempertimbangkan semula untuk pengelasan mereka sebagai kemudahan awam.
“Ini bermakna platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok boleh dianggap sebagai perkhidmatan penting sama seperti pembekal air, elektrik atau internet,” katanya.
Beliau berkata dalam perkembangan pesat landskap digital hari ini, pengamal media perlu menghadapi dan menangani situasi yang muncul disebabkan kehadiran teknologi AI.
“Walaupun teknologi mempunyai potensi besar untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat ia juga membawa risiko terutama berkaitan penyebaran maklumat salah dan maklumat palsu,” katanya. – 3 September, 2024.
Komen