Penumpang penerbangan MAS yang dibatalkan layak terima pampasan, kata Mavcom


Penumpang pesawat MAS penerbangan dari KLIA ke Seoul, Korea Selatan yang dibatalkan, layak mendapat bayaran balik, kata Mavcom. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2024.

PENUMPANG pesawat Malaysia Airlines (MAS) bagi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Seoul, Korea Selatan yang dibatalkan, layak mendapat bayaran balik, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Pengarah Mavcom (pengguna dan hal ehwal awam) Pushpalatha Subramaniam berkata ia tertakluk dalam pindaan terbaru kepada Penambahbaikan Kod Perlindungan Pengguna Malaysia 2016 (MACPC), yang berkuat kuasa hari ini (Isnin).

“Pengguna ada pilihan sama ada mahu meneruskan perjalanan atau mendapatkan bayaran balik,” katanya pada sidang media di pejabat Mavcom di Kuala Lumpur petang tadi.

Di bawah pindaan baharu MACPC 2016, penumpang layak mendapat ganti rugi jika pesawat mereka dijadualkan semula atau waktu berlepas ditukar lebih tiga jam daripada waktu asal.

Pushpalatha berkata ganti rugi itu perlu diberikan mengikut kepada kaedah pembayaran asal.

“Jika mereka bayar tunai, maka mereka akan diberikan bayaran balik secara tunai. Jika kad kredit, maka bayaran diberikan guna kad kredit dan jika mata ganjaran, maka pemulangan akan dibuat dalam bentuk itu.

“Semuanya bergantung kepada kaedah pembayaran,” katanya.

Dilaporkan pagi tadi, pesawat MAS ke Seoul berpatah balik ke KLIA kurang setengah jam selepas berlepas malam tadi.

Malaysia Airlines belum mengeluarkan kenyataan berkaitan insiden itu tetapi laman web syarikat penerbangan itu menyenaraikan pesawat itu sebagai “dibatalkan”.

FlightRadar menunjukkan penerbangan Malaysia Airlines MH66 berlepas dari KLIA T1 ke Seoul pada 11.50 malam tadi.

Ia kemudian berpatah balik dan selamat mendarat di KLIA pada 12.34 pagi hari ini. – 2 September, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen