Agong, Raja Permaisuri berangkat ke sambutan Hari Merdeka di Putrajaya


Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hadir acara sambutan Hari Merdeka 2024 di Dataran Putrajaya hari ini. – Gambar Facebook, 31 Ogos, 2024.

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke acara sambutan Hari Merdeka 2024 di Dataran Putrajaya hari ini, lapor Bernama.

Ini adalah kali pertama Seri Paduka Baginda berdua menyaksikan acara gilang-gemilang itu selepas Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan serta ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, masing-masing pada 31 Januari dan 20 Julai lepas.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada 8 pagi disambut Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tiupan nafiri turut bergema di Dataran Putrajaya sebelum lagu Hormat Diraja dan Negaraku dimainkan oleh pancaragam Kawalan Kehormatan Utama.

Ia disusuli terbang lintas lima pesawat helikopter yang membawa bendera Malaysia serta bendera Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia sejurus keberangkatan Seri Paduka Baginda di Pentas Diraja.

Terdahulu, Anwar dan anggota Kabinet tiba di Dataran Putrajaya untuk menyaksikan perarakan dan persembahan sempena sambutan tahun ini.

Sambutan kemerdekaan tahun ini dengan bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka, turut dihadiri timbalan menteri, tetamu kehormat dan perwakilan luar negara.

Sambutan tahun ini membabitkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 pancaragam, 534 aset daripada angkatan tentera dan Tentera Udara Diraja Malaysia, serta 100 haiwan dalam perkhidmatan. – 31 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen