Operasi cari mangsa jatuh lubang masuk hari ke-8


Ravin Palanisamy

Operasi SAR pelancong dari India yang hilang selepas terjatuh lubang jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur masuk hari kelapan hari ini. – Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat, 30 Ogos, 2024.

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) wanita warganegara India yang jatuh ke dalam lubang di Masjid India, Kuala Lumpur memasuki hari kelapan hari ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata pasukan yang bertugas malam tadi meneruskan pencarian untuk mangsa hingga 6 pagi tadi.

Mereka berkata tiga pam elektrik berkapasiti tinggi digunakan oleh pasukan tersebut untuk menurunkan paras air sebanyak 2.5 kaki dari dasar paip.

“Ini adalah supaya pasukan dapat terus memeriksa semula penjajaran paip dari lubang mangkuk satu (titik sifar) hingga lubang mangkuk dua (Wisma Yakin),” kata unit perancangan korporat DBKL dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu berkata mesin berat juga digunakan untuk menjalankan kerja-kerja penggerudian bagi membolehkan tambahan paip penyedut yang dibawa oleh Indah Water Konsortium (IWK) digunakan untuk mengurangkan paras air sebanyak mungkin.

“Pasukan mencari dan menyelamat cuba memasuki paip pembetungan melalui lubang mangkuk satu (titik sifar) dan lubang mangkuk dua (Wisma Yakin) tetapi usaha tersebut gagal kerana laluan tersebut sempit dan terdapat peningkatan gas dalam saluran yang berbahaya untuk pasukan,” katanya.

DBKL berkata pasukan mencari dan menyelamat komited dan akan meneruskan pencarian.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Nor Hisham Mohamad berkata operasi SAR dihentikan di lokasi di Jalan Masjid India tetapi akan diteruskan di loji pembetungan IWK Pantai Dalam.

Menurut laporan The Star, keputusan ini diambil selepas penemuan menunjukkan adalah terlalu berisiko untuk meneruskan aktiviti SAR menggunakan kaedah menyelam skuba.

Beliau berkata Jabatan Bomba akan mencadangkan kaedah alternatif kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan DBKL dalam mesyuarat petang ini untuk menentukan arah usaha SAR.

“Selain menimbulkan risiko tinggi kepada penyelam skuba terdapat juga halangan yang sukar dilalui oleh penyelam,” kata Nor Hisham.

Pada 23 Ogos seorang wanita India yang dikenali sebagai Vijayalakshmi sedang berjalan di laluan pejalan kaki bersama keluarganya apabila dia terjatuh dan hilang ke dalam lubang tersebut. – 30 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen