Operasi mencari mangsa lubang jerlus masuk hari ke-7


Pada Jumaat lalu, seorang wanita warga India, Vijayaletchumy, 48, terjatuh di lubang jerlus di Jalan Masjid India, dan setakat ini operasi mencari masih dijalankan. – Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat, 29 Ogos, 2024.

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) pelancong India yang jatuh ke dalam lubang jerlus sedalam 8 meteri di Jalan Masjid India pada Jumaat lalu, hari ini masuk hari ketujuh.

Awal pagi ini, dua penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat masuk ke dalam lubang itu selepas mengesan halangan berupa objek tersekat antara lubang itu dengan lurang kumbahan kedua, kira-kira sejauh 80 meter.

Menurut laporan Bernama, penyelam masuk ke lubang itu jam 3.06 pagi dengan harapan dapat menemui mangsa, Vijayaletchumy, 48.

Timbalan ketua pengarah operasi itu, Ahmad Izram Osman berkata unit anjing K9, Denti dan Frankie mengesan objek tersekat itu, mendorong kepada siasatan lanjut dilakukan dengan kamera litar tertutup.

“Pasukan K9 kami menghidu kuat di kawasan itu, jadi kami akan fokus pencarian di situ. Kamera juga mencadangkan ada halangan di situ, ada kemungkinan mangsa atau objek lain terperangkan di lokasi itu,” katanya.

Pembentung dipam keluar bagi membantu pergerakan penyelam. Operasi itu dilakukan awal pagi ketika paras air pembentung dijangkan di bawah 1 meter, berbanding waktu biasa 1.5 meter, tetapi arus deras air masih membahayakan penyelam.

Kurang setengah jam kemudian, penyelam ditarik menggunakan tali oleh pasukan dan dibersihkan dan dinyahkuman. Arus deras di terowong pembentung menyukarkan mereka untuk sampai ke lokasi objek halangan itu, lapor Bernama.

Setakat 4.30 pagi, jabatan itu tidak mengeluarkan kenyataan rasmi kepada media, yang menunggu sejak tengah malam untuk perkembangan usaha mencari itu. – 29 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen