Trauma menjadi mangsa cabul


Anggota polis yang mengambil laporan daripada mangsa serangan seksual perlu lebih sensitif dan profesional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2024.

TIDAK kiralah Miley Cyrus atau Karla Chubb, DJ Soda, Taylor Swift atau Nurul Ashiqeen Johari dari Malaysia, mereka semua tidak terlepas daripada trauma menjadi mangsa cabul.

Dalam kes Nurul, keadaannya menjadi bertambah teruk apabila polis tidak sensitif dan bertanya pelbagai soalan seperti, “Kenapa anda tidak buat ini atau buat itu? Kenapa tidak tunggu dengan lelaki yang raba anda dan hubungi polis serta-merta?”

Sudah jelas, kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia tidak cukup melatih anggotanya untuk ada sensitiviti jantina. Sudah berulang kali mangsa serangan seksual mengadu tentang kaedah soal siasat yang kasar dilakukan oleh anggota polis.

Dalam kes Nurul, dia terpaksa menjelaskan kepada polis yang dia takut menyebabkan dia tidak terus segera ke balai polis. Namun, polis menepis kebimbangan mangsa. Dia juga dikecam kerana memuat naik pengalaman ngeri dialaminya di Jalan Petaling itu pada 16 Ogos jam 10.30 malam.

“Polis marah saya muat naik hantaran itu dan berkata mereka tidak dapat cari lelaki itu kerana saya tidak mempunyai maklumat mencukupi. Saya muat naik di media sosial dengan harapan ada orang kenal lelaki itu,” katanya dipetik daripada akhbar berbahasa Inggeris.

Malam itu, Nurul bukan saja diserang dengan dicabul dan diraba. Seorang sarjan di sebuah lagi balai polis nampaknya lebih teruja dengan aktivitinya di media sosial, dan bukannya insiden yang berlaku terhadapnya.

Menambah luka kepada ketakutannya, sarjan itu menuduhnya mencari perhatian di media sosial.

“Saya tidak percaya dengan apa yang terjadi. Saya adalah mangsa, dan mereka buat saya seperti saya yang salah dan penyerang itu mangsa sebenar. Saya tanya bagaimana wanita sepatutnya melindungi diri, dan mereka beritahu saya perlu bukti kukuh.”

Sejam dia diminta menunggu dan seolah-olah itu tidak cukup menyakitkan. Sarjan berkenaan mula memikatnya, mengajaknya keluar minum, padahal tahu teman lelakinya sedang menunggu di luar balai polis itu.

“Sarjan itu beritahu dia gembira saya buat laporan polis kerana dia berpeluang bertemu saya. Malah dia cakap dia akan datang ke persembahan saya. Tingkah lakunya sangat tidak profesional.”

Nurul berkata sarjan itu kemudian meminta maaf atas perbuatannya dan beritahu dia hanya buat “lawak”. – 28 Ogos, 2024.

Berita penuh di sini.

*


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen