RAKYAT Sarawak dan Sabah mengecam Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz di media sosial susulan kenyataannya kepada Menteri Pelancongan Sarawak Abdul Karim Hamzah yang meminta supaya pelaksanaan cukai pelancongan di Sarawak ditangguhkan.
Semalam Nazri menggelarkan Karim sebagai “setahun jagung” merujuk kepada Karim yang baru sahaja dilantik sebagai menteri pelancongan, kesenian, kebudayaan, belia dan sukan. Karim dilantik bulan lepas.
Nazri juga dipetik memberitahu Karim supaya “mendiamkan diri” tentang isu tersebut.
“Karim hanya menteri baharu, dia tak sepatutnya berlagak. Jika dia tidak faham apa-apa dia patut jumpa saya. Saya juga menteri Barisan Nasional,” katanya kepada wartawan dalam satu acara di Kuala Lumpur malam semalam.
Dia juga menuduh Karim “cakap besar” dan mahu berkelakuan seperti “samseng”.
“Roger T” seorang rakyat Sabah menulis dalam WhatsApp: “Nazri terlalu angkuh. Mulutnya celupar dan bercakap tanpa memikirkan yang dia sedang membodohkan dirinya. Contoh klasik pelampau Malaya,” mencerminkan reaksi kebanyakkan rakyat Sabah dan Sarawak.
“Gambaran jelas perangai sombong pemimpin Umno,” tulis pemimpin akar umbi PKR Boniface Willey Tumek di akaun Facebooknya pula.
“Menimbulkan persoalan bagaimana pemimpin Sarawak dalam BN boleh terhutang budi dan menyerah kepada pemimpin Umno sampaikan orang Umno macam Nazri tidak berfikir panjang menjatuhkan maruah Abang Karim secara terbuka,” tambah Tumek.
Pembantu Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Abdullah Saidol dalam catatan Facebooknya pula menyoal bagaimana seorang menteri yang berpengalaman boleh menjawab soalan dengan cara sebegitu.
“Kata dah lama jadi Menteri, sebagai org lama dlm Politik dan pernah jaga Hal-Ehwal Undang2 Federal, tentu awak lebih arif..jawab la dgn berhemah serta berilmiah sikit.
“Jangan la sombong sangat. Wahai Pak Menteri..mutual respect goes both ways ok..” tulis Abdullah.
Abdullah yang juga dilantik sebagai menteri sewaktu rombakan kabinet Mei lepas berkata yang perangai “kebangsawanan” Nazri menjadi rakyat bosan dengan budaya politik dalam negara kini.
Bekas pemimpin Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Pandi Suhaili dalam catatan blognya pula memberi amaran yang keangkuhan dan perangai kurang ajar Nazri boleh menimbulkan kesan politik dan reaksi pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
“Nazri jangan anggap rakyat Sarawak akan berdiam diri bila seorang Menteri Sarawak diperlekehkan semata-mata kerana memperjuangkan kepentingan Sarawak.
“Janganlah Nazri begitu yakin beliau boleh memperlekehkan Menteri Sarawak tanpa memberi sebarang kesan keatas sokongan rakyat Sarawak terhadap Barisan Nasional Pusat,” tulisnya.
“Sokongan yang padu kepada Barisan Nasional Sarawak tidak bermaksud sokongan yang serupa kepada Barisan Nasional Pusat.”
Sarawak dan Sabah serta negeri lain seperti Pulau Pinang tidak menyokong Cukai Pelancongan yang akan dikuatkuasakan pada 1 Julai nanti.
Usul Cukai Pelancongan dibentangkan di Dewak Rakyat pada 4 April dan diluluskan keesokkan harinya. Dewan Negara meluluskan usul itu tanpa pindaan pada 27 April.
Pemeriksaan pada hansard Dewan Rakyat mendapati yang hanya ahli Parlimen dari Sabah yang mendebatkan usul itu pada 5 April.
Darell Leiking (PKR-Penampang) menyoal samada kerajaan boleh berjanji untuk berkongsi cukai pelancongan itu dengan negeri. Cadangan untuk berkongsi hasil cukai itu turut disuarakan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke (DAP) sewaktu sidang yang berakhir pada jam 4.57 pagi itu. – 12 Jun, 2017.
Komen