PENGERUSI Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang terhadap tuduhan membuat kenyataan hasutan dalam ceramah menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri awal bulan ini.
Muhyiddin yang juga merupakan presiden Bersatu mengaku tidak bersalah apabila tuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Nik Tarmizie Nik Shukri.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dan menjadualkan perbicaraan seterusnya pada 4 November.
Bekas perdana menteri itu didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tuduhan tersebut berkaitan dengan ucapan yang dibuat oleh Muhyiddin semasa acara kempen PN di Felda Perasu di Gua Musang, Kelantan pada 14 Ogos lepas.
Kenyataan Muhyiddin menyebabkan 29 laporan polis dibuat terhadapnya. Beliau juga menerima teguran dari Istana Pahang.
Kenyataan hasutan yang didakwa dibuat oleh Muhyiddin diterangkan dalam lampiran kertas pertuduhan.
Menurut transkrip tersebut Muhyiddin mempersoalkan mengapa beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun beliau mempunyai sokongan daripada 115 ahli Parlimen. – 27 Ogos, 2024.
Komen