KERAJAAN digesa menyemak semula kadar elaun on-call (kerja lebih masa) untuk doktor sektor awam.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata kadar semasa sebanyak RM9.16 sejam dilaksanakan sejak lebih sedekad lalu.
Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata pihaknya mencadangkan kadar baharu RM25 sejam.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata MMA berharap pengumuman berkaitan perkara ini diumumkan segera susulan keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam, termasuk kakitangan sektor penjagaan kesihatan.
“Doktor hospital dan klinik kerajaan tidak menerima semakan semula bagi elaun on-call mereka sejak lebih sedekad.
“MMA sebelum ini ada berhubung dengan menteri kesihatan sebelum ini, menteri kesihatan sekarang dan beberapa pegawai kementerian berkenaan perkara ini dan mencadnagkan kadar on-call dinaikkan kepada RM25,” katanya.
Dr Azizan berkata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad pada Februari lalu ada berkata kadar baharu elaun on-call akan diumumkan tidak lama lagi, tetapi hingga kini tiada sebarang pengumuman dibuat.
“Doktor menunggu kementerian membuat pengumuman ini,” katanya.
Beliau berkata kenaikan elaun on-call juga adalah antara langkah penting dalam mengiktiraf sumbangan golongan profesional perubatan.
Katanya, semakan terhadap elaun on-call adalah penting dalam memastikan doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam diberikan pampasan yang munasabah untuk kerja keras dan pengorbanan mereka. – 27 Ogos, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen