Hanya jumpa selipar, operasi cari mangsa jatuh lubang diteruskan


Seorang wanita warganegara India terjatuh ke dalam lubang di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pagi semalam, dan masih hilang setakat ini. – Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat, 24 Ogos, 2024.

HANYA sepasang selipar milik pelancong India yang jatuh di lubang jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur ditemui, selepas hampir 17 jam operasi mencari dijalankan semalam.

Dilaporkan seliar itu ditemui terapung berhampiran lokasi mangsa dilaporkan terjatuh kira-kira 8.30 pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata setakat ini, itu saja petunjuk yang ditemui di lokasi dan usaha pencarian di kawasan itu sudah dilaksanakan 100%, namun masih gagal mengesan mangsa.

Operasi mencari dan menyelamat terpaksa ditangguhkan pada 12.30 tengah malam tadi kerana hujan dan pencarian disambung 9 pagi tadi.

“Operasi pencarian mangsa menghadapi kesukaran kerana arus deras, selain terdapat gas di dalam saluran kumbahan yang berbahaya kepada pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, Indah Water Konsortium (IWK) membuka setiap lurang pembentungan di sepanjang 7km jajaran saluran pembentungan sehingga sampai ke loji rawatan kumbahan IWK di Pantai Dalam.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam berkata fizikal tubuh badan manusia mampu untuk dihanyutkan ke dalam saluran pembentungan kerana berkeluasan 1.5 meter dan berdiameter lebih tiga meter.

“Mangsa mungkin akan tersangkut pada ‘inter pump station’ namun setakat ini tiada apa-apa ditemui,” katanya.

Mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India sedang berjalan bersama keluarganya di depan Malayan Mansion, Jalan Masjid India sebelum terjatuh ke dalam lubang itu. – 24 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen