PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan dakwaan Muhyiddin Yassin mendapat cukup sokongan untuk menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) lalu dengan berkata Raja-Raja Melayu dan peguam negara pada masa itu mempertikaikan jumlah sokongan.
“Setakat saya faham pandangan Raja-Raja dan peguam negara masa itu yang dilantik oleh Muhyiddin mengatakan jumlah itu dipertikai, maka diserah kepada budi bicara Agong.
“Itu adalah jelas. Sebelum ini, saya elak mengulas perkara ini, tetapi beliau (Muhyiddin) masih bercakap tentang isu 115 ahli Parlimen,” kata Anwar dilaporkan berkata kepada media hari ini.
Beliau berkata pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak mendapat sokongan mencukupi kerana ada sebahagian wakil rakyat menandatangani “dua atau tiga” akuan bersumpah (SD).
Ada juga ahli Parlimen yang menyerahkan kepada pemimpin parti masing-masing untuk memutuskan siapa yang akan disokong untuk jawatan tertinggi itu, katanya.
Muhyiddin, ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini mendakwa beliau memiliki 115 SD selepas PRU15 dan menyatakan jumlah itu cukup untuk beliau menjadi perdana menteri.
Pada Rabu, Muhyiddin menyerahkan beberapa dokumen termasuk SD berkenaan kepada polis semasa memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum).
Muhyiddin turut mempertahankan ucapannya, berkata ia bukan bertujuan untuk menghina institusi diraja atau mencetuskan kebencian, tetapi ia adalah berdasarkan kepada fakta.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada 115 SD yang didakwa dimiliki Muhyiddin, 10 daripada ahli Parlimen menandatangani dua SD, iaitu satu yang menyokong PN dan satu lagi menyokong BN. – 23 Ogos, 2024.
Komen