MENJELANG malam Ahad, Rumah Putih kini mempunyai dua penghuni baru: Wanita Pertama Amerika Syarikat Melania Trump dan anak lelakinya Barron akhirnya berpindah masuk ke 1600 Pennsylvania Avenue.
Enam bulan selepas Presiden Donald Trump tiba, bekas model kelahiran Slovenia itu dan anak lelaki pasangan itu berusia 11 tahun akhirnya menyertai Trump di Rumah Putih, kata seorang pembantu kepada AFP.
Mereka sebelum ini terus menetap di New York supaya Barron boleh menamatkan persekolahannya tahun ini. Dia dijangka akan mendaftar di sekolah St. Andrews Episcopal, diluar Washington untuk sesi 2017-2018.
Sebelum tiba di ibu kota itu, Melania dan Barron menaiki pesawat Air Force One bersama-sama Presiden Trump di Joint Base Andrews.
Ibubapa Melania juga menyertai mereka dalam penerbangan pendek dari Bedminster, New Jersey dimana Trump menghabiskan cuti hujung minggunya bermain golf.
Melania ialah pasangan pertama dalam sejarah moden AS yang menangguh perpindahan ke Washington selepas suaminya memenangi pilihan raya.
Sebelum ini, Trump tinggal sendirian dalam kediaman peribadi presiden di Rumah Putih ketika dia bergelut dengan laporan mendakwa Rusia masuk campur dalam Pilihan Raya Presiden Amerika 2016 dengan tujuan untuk membantunya mengalahkan Hillary Clinton.
Wanita pertama itu tidak terlalu menonjolkan dirinya sejak suaminya yang juga ahli perniagaan hartanah berjaya menjadi presiden.
Kemunculannya di khalayak awam terakhir ialah pada bulan lepas ketika dia dan Trump melawat Timur Tengah dan Eropah dalam lawatan yang disifatkan Rumah Putih membuahkan kejayaan. – AFP, 12 Jun, 2017.
Komen