Pakatan sokong calon BN di PRK Mahkota, kata Saifuddin


PH tidak akan bertanding pada PRK Mahkota dan bersetuju untuk menyokong calon BN mempertahankan kerusi itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2024.

PAKATAN Harapan (PH) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota dan bersetuju untuk Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi DUN di Johor itu.

Dalam satu kenyataan, Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution berkata keputusan itu dicapai susulan mesyuarat bersama pemimpin tertinggi pakatan itu dan dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim.

“PH bersetuju calon BN akan bertanding sebagai menghormati kerusi incumbent sepertimana BN berbuat serupa ketika PRK Pulai dan Simpang Jeram pada September 2023.

“PH akan turun memberi sokongan dan dokongan sepenuhnya kerana mengekalkan kemenangan kerusi Mahkota adalah menjadi keutamaan dalam semangat kerajaan perpaduan pada hari ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 September sebagai hari mengundi PRK Mahkota, dengan penamaan calon dan undi awal dijadualkan pada 14 dan 24 September.

DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos.

Pada PRN Johor pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi. – 17 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen