Agensi kerajaan di luar negara akan berkongsi pejabat tahun depan, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata agensi pelaburan dan pelancongan Malaysia yang beroperasi di luar negara akan berkongsi pejabat mulai 1 Januari depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2024.

AGENSI pelaburan dan pelancongan Malaysia yang beroperasi di luar negara akan berkongsi pejabat tahun depan bagi menjimatkan kos, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata bermula 1 Januari, 2025 pejabat di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan berada di bawah satu bumbung.

Matrade dan Mida adalah agensi di bawah Miti.

“Motac, Matrade, Miti dan selain Kedutaan semuanya mempunyai pejabat masing-masing. Jadi, bermula 1 Januari, semua pejabat di luar negara akan disatukan bawah satu bumbung bagi menjimatkan belanja dan mengoptimumkan operasi.

“Dunia masih kecil, ekonomi dan teknologi kian canggih tetapi cara kita berfikir dan bertindak masih usang, sebab itu saudara semua kena kerjasama,” katanya ketika berucap pada perhimpunan penjawat awam di Putrajaya pagi ini.

Anwar dalam ucapannya berkata penjawat awam perlu mempertimbangkan tentang keuntungan pelaburan apabila beroperasi bagi mengelakkan kerugian daripada wang pembayar cukai. – 16 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen