9 kes cacar monyet dikesan di Malaysia tahun lalu


Sembilan kes cacar monyet direkodkan di Malaysia sejak kes pertama dikesan pada 26 Julai, 2023, kata KKM. – Gambar fail Facebook, 15 Ogos, 2024.

SEBANYAK sembilan kes cacar monyet (mpox) direkodkan di Malaysia sejak kes pertama dikesan pada 26 Julai, 2023, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam satu kenyataan hari ini, KKM berkata kes terakhir dikesan pada November tahun lalu dan semua kes dilaporkan mempunyai sejarah aktiviti berisiko tinggi.

“Semua kes mempunyai sejarah menjalankan aktiviti berisiko dan kini sembuh selain tiada kematian dilaporkan,” menurut kenyataan itu.

KKM menasihatkan menasihati individu yang melawat negara melaporkan mpox supaya sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan mengelakkan aktiviti berisiko.

“Sila pantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia selepas kembali dari negara berkenaan.

“Mereka yang terbabit dalam aktiviti berisiko tinggi dinasihatkan menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik berdekatan.”

Pengamal perubatan boleh merujuk kepada garis panduan pengurusan mpox di www.moh.gov.my.

KKM akan terus memantau situasi mpox di dalam dan luar negara dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Mpox adalah penyakit ialah demam berserta ruam “maculopapular rash” atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.

Tempoh pengeraman iaitu tempoh daripada terdedah kepada jangkitan sehingga individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima hingga ke 21 hari.

Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh kering sepenuhnya.

Jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim. – 15 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen