PERDANA Menteri Anwar Ibrahim dijadualkan akan membuat pengumuman penting mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Jumaat ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), lapor Bernama.
Timbalan Pengarah Kanan (Pembangunan Kompetensi) Intan Dr Haniff Zainal Abidin berkata pengumuman yang akan dibuat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 ini dijangka menarik perhatian khususnya dalam kalangan penjawat awam.
“Kali ini ramai yang pasti ternanti-nanti tentang polisi atau dasar Kerajaan Madani yang akan dibentangkan di MAPPA.
“Kali ini agak menarik kerana terdapat kemungkinan besar pengumuman penting berkaitan SSPA dan prinsip-prinsip yang perlu dilaksanakan oleh penjawat awam,” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia di Bernama TV hari ini.
Haniff berkata Mappa yang ke-19 ini berfungsi sebagai platform bagi perdana menteri untuk menggariskan dasar-dasar utama kerajaan dan merupakan penganjuran semula selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2022.
Beliau berkata sekitar 7,000 penjawat awam dijangka akan hadir untuk mendengar ucapan perdana menteri secara langsung.
“Bagi mereka yang tidak dapat hadir mereka boleh mengikuti siaran langsung melalui pelbagai platform termasuk media sosial,” tambahnya.
Mengenai MAPPA tahun ini yang bertemakan “Perkhidmatan Awam Madani” Haniff berkata 32 kementerian dan agensi akan menyediakan reruai untuk memberi perkhidmatan kepada penjawat awam dan orang awam.
“Reruai terbesar yang akan dibuka ialah reruai Jabatan Perkhidmatan Awam dan Intan. Selain itu, kami juga menyediakan reruai Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk membolehkan orang ramai membayar saman dengan Harga diskaun,” katanya. – 13 Ogos, 2024.
Komen