Kumpulan perniagaan desak boikot Bangladesh susulan pembunuhan minoriti


K. Kabilan

Menurut laporan media antarabangsa komuniti Hindu di Bangladesh mengalami sekurang-kurangnya 205 serangan di 52 daerah mengakibatkan 60 kematian dan 24 orang dibakar hidup-hidup. – Gambar Facebook, 12 Ogos, 2024.

PERNIAGAAN di Malaysia mempunyai hak untuk memboikot produk Bangladesh termasuk pekerja mereka jika negara tersebut tidak mengambil langkah konkrit untuk melindungi minoriti khususnya komuniti Hindu, kata satu kumpulan perniagaan hari ini.

Namun terlebih dahulu Persatuan Perniagaan India Johor (Jiba) mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada Bangladesh untuk menghentikan kekejaman terhadap minoriti dengan segera.

“Perdana menteri kita mesti menghantar mesej tegas dalam mendesak kerajaan sementara Bangladesh untuk menghentikan keganasan terhadap minoriti di sana, jika tidak beliau harus mengambil langkah ketat seperti menghentikan pengambilan pekerja Bangladesh.

“Malaysia juga boleh memutuskan hubungan ekonomi dengan Bangladesh dan menghentikan semua import dari Bangladesh yang dilaporkan bernilai sekitar RM1 bilion pada tahun 2023,” kata Presiden Jiba, P Sivakumar kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata Malaysia tidak seharusnya berdiam diri apabila minoriti di Bangladesh dibunuh dan turut mengingatkan perdana menteri tentang pendirian Malaysia yang menyokong Palestin.

Beliau juga menyebut bagaimana rakyat Malaysia menyeru boikot terhadap produk dan syarikat yang dikaitkan dengan Yahudi.

“Malaysia tidak seharusnya membiarkan pembunuhan yang berleluasa seperti ini berlaku di Bangladesh.

“Jika rakyat Bangladesh tidak menghentikan keganasan mereka terhadap penganut Hindu dan agama minoriti lain di sana, maka perniagaan Malaysia berhak untuk memboikot produk Bangladesh,” katanya.

Beliau juga berkata majikan bagi jutaan pekerja Bangladesh di sini adalah dari pelbagai agama yang menghormati kehidupan dan hak setiap orang.

“Apa yang akan berlaku jika majikan-majikan ini membatalkan permit pekerja Bangladesh akibat tindakan rakyat negara mereka terhadap penganut Hindu dan agama pelbagai agama lain di Bangladesh?” soalnya.

“Saya rasa perdana menteri kita harus menghormati sensitiviti rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama serta bersuara menentang kekejaman di Bangladesh, dan tidak terhad kepada campur tangan di Gaza sahaja,” tambah Sivakumar.

Beberapa kumpulan masyarakat sivil dan parti politik mengutuk Anwar kerana diam mengenai penderitaan minoriti di Bangladesh yang dilanda krisis.

“Kekurangan kecaman daripada Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim terhadap keganasan dan penganiayaan yang dihadapi oleh minoriti Hindu di Bangladesh adalah sangat membimbangkan.

“Walaupun Anwar lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan menyeru bantuan kemanusiaan ke Gaza, diamnya beliau mengenai kekejaman di Bangladesh amat membingungkan,” kata Presiden Global Human Rights Federation (GHRF), Shashi Kumar.

Menurut laporan media antarabangsa komuniti Hindu di Bangladesh mengalami sekurang-kurangnya 205 serangan di 52 daerah mengakibatkan 60 kematian dan 24 orang dibakar hidup-hidup.

Gelombang keganasan ini bermula pada Isnin 5 Ogos selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina meletakkan jawatan dan melarikan diri dari negara itu meninggalkan komuniti minoriti terdedah kepada kekejaman kumpulan ekstremis.

Sejak itu ribuan penganut Hindu Bangladesh cuba melarikan diri ke India yang berdekatan untuk mengelakkan keganasan dan menyelamatkan nyawa mereka.

Penganut Hindu yang membentuk sekitar 8% (lebih kurang 13 juta) daripada jumlah penduduk Bangladesh yang melebihi 170 juta adalah kumpulan minoriti terbesar di negara itu.

Pada Sabtu Anwar mengucapkan tahniah kepada Pemenang Hadiah Nobel Dr Muhammad Yunus atas pelantikannya sebagai Penasihat Ketua kerajaan sementara Bangladesh.

Perdana menteri memuji pengalaman luas Yunus yang beliau percaya akan membimbing Bangladesh dengan kebijaksanaan dan integriti. – 12 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen