PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini menafikan laporan mengenai kemungkinan berlakunya rombakan Kabinet dalam masa terdekat.
Anwar berkata beliau hanya mengetahui tentang rombakan tersebut selepas membaca laporan berita berkenaan.
“Saya baru tahu (tentang rombakan Kabinet). Saya tidak pernah mendengar (apa-apa) tentangnya.
“Siapa yang mahu membantu rombakan Kabinet? Ada sukarelawan?
“Saya tidak pernah mendengar tentangnya… serius. Saya tidak,” kata Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan kepada media selepas satu program di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Terdahulu hari ini portal berita Free Malaysia Today (FMT) yang memetik sumber PKR berkata seorang menteri dari parti itu mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan dari Jemaah Menteri.
Menurut laporan tersebut, prestasi menteri itu ‘dipersoalkan’.
Sumber itu juga berkata seorangmenteri besar akan diserap ke dalam Kabinet.
Apabila ditanya tentang dakwaan menteri besar akan dilantik sebagai menteri, Anwar menjawab “Selepas pilihan raya akan datang, insya-Allah”.
Laporan berita memetik sumber lain pula berkata rombakan Kabinet mungkin akan berlaku menjelang akhir Ogos dengan beberapa timbalan menteri dijangka dinaikkan pangkat ke jawatan menteri. – 12 Ogos, 2024.
Komen