Mahkamah tolak injunksi sementara hentikan PRK Nenggiri


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tolak permohonan bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim untuk menghentikan PRK DUN itu, Sabtu ini. – Gambar fail Facebook, 12 Ogos, 2024.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak permohonan bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim untuk menghentikan pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, Sabtu ini.

Ini adalah kali kedua mahkamah menolak permohonan injunksi difailkan Azizi.

Azizi memohon perisytiharan untuk menghentikan SPR daripada mengadakan PRK di kawasan DUN berkenaan dan memohon perisytiharan kerusi DUN itu tidak kosong dan masih disandang olehnya.

Yang dipertua DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong susulan keahlian Azizi dalam Bersatu dibatalkan serta-merta selepas beliau memberi sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan.

Permohonan pertama Azizi untuk menghalang PRK itu diadakan ditolak mahkamah pada 27 Jun.

Pagi ini, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, menolak permohonan injunksi sementara dipohon Azizi yang dipecat daripada Bersatu, untuk menghentikan PRK itu.

Roz Mawar ketika membacakan keputusannya berkata mahkamah mendapati Azizi selaku plaintif gagal memenuhi keperluan bagi mahkamah membenarkan permohonan injunksi terbabit.

Beliau berkata mahkamah berpuas hati SPR tidak sepatutnya dihalang daripada melaksanakan fungsi perlembagaan untuk mengendalikan PRK DUN berkenaan.

Katanya, Azizi boleh menawarkan diri sebagai calon pada hari penamaan tetapi enggan berbuat demikian.

“Kegagalannya menawarkan diri sebagai calon bermakna dia tidak lagi berminat bertanding di kerusi Nenggiri. Pilihan raya kecil menentukan kehendak bebas rakyat dan menentukan penerimaan serta penolakan terhadap plaintif yang mewakili mereka,” katanya dipetik daripada Malaysiakini.

Mahkamah turut memerintahkan Azizi membayar kos sebanyak RM10,000 kepada setiap defendan sebelum menetapkan 18 Disember bagi mendengar saman pemula berkenaan.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 25 Jun lalu, Mohd Azizi selaku plaintif menamakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin; Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah dan SPR selaku defendan.

Pada prosiding itu, Azizi diwakili peguam, Rajan Navaratnam dan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly pula bertindak bagi pihak SPR, manakala peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili speaker DUN dan Chetan Jethwani bagi pihak Bersatu.

Pada PRN tahun lalu Azizi menang kerusi itu selepas menewaskan calon Barisan Nasional Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

Nenggiri mempunyai 20,259 pengundi berdaftar. – 12 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen