‘You touch, you go’, amaran menteri pendidikan kepada pesalah seksual


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM tidak akan berkompromi dengan perkara berkaitan kesalahan seksual di sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2024.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dengan perkara berkaitan kesalahan seksual di sekolah, kata menterinya Fadhlina Sidek.

“Kalau kita dapati berlaku gejala seksual dalam kalangan warga KPM sendiri, kita sudah buat penegasan tatatertib ini, iaitu ‘you touch, you go’,” katanya dilaporkan Bernama.

Fadhlina berkata kementeriannya sedang mengukuhkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual untuk institusi pendidikan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkenaan laporan insiden salah laku seksual di mana seorang pelajar perempuan mendakwa dirogol dan diserang oleh tiga pelajar lelaki di Besut, Terengganu.

Insiden dikatakan berlaku pada Februari.

“Pada masa sama, saya ingatkan laporan dibuat ahli keluarga perlu diteruskan supaya tingkah laku seperti itu dapat dikawal.”

Katanya, kementerian juga memandang serius masalah sosial lain membabitkan pelajar termasuk merokok dan menghisap vape.

Beliau mengingatkan ibu bapa dan masyarakat untuk memainkan peranan terutama jika kes berlaku di luar sekolah.

“Sekolah memang di bawah kawalan kita kerana kita ada tindakan dan disiplin, tetapi di luar, ia memerlukan komitmen ibu bapa dan masyarakat,” katanya. – 12 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen