SUSPEK dalam kes penculikan Albertine Leo Jia Hui akan berdepan 15 tuduhan di dua mahkamah yang berbeza di Johor Bahru dan Kulai hari ini.
Lelaki berusia 31 tahun yang memakai T-shirt hitam dan seluar jeans biru itu diiringi oleh pegawai polis dengan bergari ketika tiba di Kompleks Johor Bahru pada pukul 8 pagi.
Lapan tuduhan dijangka dibacakan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan tujuh tuduhan selebihnya di Mahkamah Majistret Kulai.
Pada Ahad lalu suspek ditangkap semula berikutan penemuan pelbagai mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penyalahgunaan seks kanak-kanak di kediamannya di Kulai.
Ketua Polis Johor, M. Kumar berkata penyiasat menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya negeri untuk tindakan lanjut yang kemudiannya memberi arahan untuk meneruskan tuduhan-tuduhan tersebut.
Suspek ini adalah orang kelima yang ditahan berhubung dengan penculikan kanak-kanak perempuan tersebut selepas penahanan empat suspek lain pada 22 Julai dan 23 Julai.
Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu dilaporkan hilang oleh bapanya pada 20 Julai di sebuah pusat membeli-belah di Iskandar Puteri sebelum dia ditemui selamat di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor pada 23 Julai. – 8 Ogos, 2024.
Komen