KETUA Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai ketua setiausaha negara (KSN) yang baharu, berkuat kuasa 12 Ogos.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan itu mendapat perkenanan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Shamsul akan menggantikan Mohd Zuki Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 11 Ogos.
Shamsul Azri, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.
Beliau juga menerima pendedahan di beberapa institusi antarabangsa seperti University of Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Business Administration (INSEAD).
Beliau berpengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam, dengan pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan juga Pentadbiran Kerajaan Negeri.
Dalam kenyataan itu, kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Zuki atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan ketua setiausaha negara.
“Khususnya dalam usaha mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan dengan jayanya,” menurut kenyataan itu.
Zuki, 62, dilantik sebagai KSN pada 31 Disember, 2019 dan dilantik semula menjawat jawatan itu pad 11 Ogos, 2022. – 7 Ogos, 2024.
Komen