Kami hormat hak media, tapi sila kerjasama jika ada siasatan, kata Fahmi


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata hak media untuk melindungi pemberi maklumat dihormati, tetapi kerjasama perlu diberi jika siasatan dijalankan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2024.

KEMENTERIAN Komunikasi menghormati hak media untuk melindungi pemberi maklumat, tetapi mereka yang disiasat perlu bekerjasama dengan polis, kata menterinya Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata demikian susulan siasatan polis berhubung laporan berita berkenaan dakwaan akan berlaku rombakan dalam pasukan polis membabitkan kalangan pegawai kanan.

Beliau merayu supaya mereka yang terbabit dalam siasatan itu untuk bekerjasama dengan polis.

“Walaupun kementerian menghormati hak media untuk melindungi informasi mengenai pemberi maklumat, tetapi undang-undang sedia ada masih diguna pakai dan kami menggalakkan supaya kerjasama penuh diberikan,” katanya kepada wartawan pada sidang akhbar mingguannya di Putrajaya.

Semalam, polis membuka siasatan berhubung artikel disiarkan sebuah portal berita mendakwa akan berlaku rombakan besar-besaran dalam kalangan pegawai kanan di Bukit Aman.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata laporan polis dibuat berkenaan artikel itu.

Portal terbabit melaporkan antara pegawai yang terlibat dalam rombakan itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Memetik sumber, portal berita itu juga memetik kedua-dua pegawai kanan itu dikaitkan dengan pertukaran ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai ketua pengarah.

Jawatan tertinggi kedua-dua agensi itu kosong sejak April. – 7 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen