Kanak-kanak 12 tahun mengaku tidak bersalah pandu kereta


SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan memandu kereta di bawah umur.

Prosiding diadakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan secara terutup.

Kanak-kanak terbabit didakwa memandu kereta di atas jalan raya pada 29 Julai.

Peguam Nabilla Rosli memberitahu wartawan selepas prosiding itu, kanak-kanak terbabit didakwa mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 (5) akta yang sama.

Dia didakwa memandu kereta jenis Perodua Viva, atas jalan sedangkan umurnya ketika kejadian ialah 12 tahun dan 3 bulan.

Kesalahan dilakukan di Taman Putra Impiana, Puchong pada 29 Julai.

Seksyen 39(5) membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin, namu Nabilla yang mewakili kanak-kanak itu merayu ikat jamin ditetapkan RM500.

“Bapa kanak-kanak itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini dan dibenarkan ikat jamin RM8,000,” katanya.

Majistret kemudian membenarkan ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.

Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, bapa kanak-kanak itu (yang terdahulu didakwa atas kesalahan pengabaian kanak-kanak) mengaku tidak bersalah atas kesalahan membenarkan anaknya memandu kereta di jalan raya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kedua-dua kes itu ditetapkan pada 4 September.

Terdahulu, bapa kanak-kanak itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengabaian di Mahkamah Sesyen Sepang.

Tertuduh yang juga seorang penduduk tetap Malaysia, mengaku tidak bersalah selepas dibacakan pertuduhan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Jika disabitkan, tertuduh berdepan hukuman penjara 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya. – 7 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen