Bangunkan platform media sosial sendiri bukan keutamaan Putrajaya, kata menteri


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Putrajaya tidak berhasrat bangunkan aplikasi media sosial khusus untuk rakyat Malaysia kerana kosnya sangat tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2024.

PUTRAJAYA tidak berhasrat untuk membangunkan aplikasi media sosial khusus untuk rakyat Malaysia kerana kos membangunkan platform seumpama itu sangat tinggi, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ia bukanlah menjadi keutamaan bagi kerajaan buat masa ini kerana banyak lagi isu lain perlu ditangani seperti sekolah daif dan klinik.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak melarang mana-mana pihak termasuk swasta di negara ini yang berhasrat membangunkan platform itu.

“Mereka boleh hubungi Mosti atau MDEC untuk bantuan,” katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulan kementerian di Putrajaya hari ini.

Pada himpunan pro-Palestin diadakan di Axiata Arena di Bukit Jalil pada Ahad lalu, Fahmi berkata Putrajaya mempertimbangkan cadangan untuk membangunkan aplikasi media sosial khsusus untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata tahun lalu, Facebook memperoleh kira-kira RM2.7 bilion di Malaysia tetapi tidak memastikan keadaan penggunaan platform mereka di Malaysia adalah selamat. – 6 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen