PERDANA Menteri Bangladesh Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke luar negara, menurut laporan media.
Peletakan jawatan itu susulan ribuan penunjuk perasaan melakukan protes di jalan raya di ibu negara Dhaka sejak sebulan lalu.
Pertembungan antara polis dan penunjuk perasaan mengorbankan kira-kira 300 nyawa.
Menurut laporan BBC, Hasina yang memegang jawatan itu sejak 2009 dan melarikan diri ke negara jiran India bersama kakaknya.
Pada masa sama, laporan turut berkata penunjuk perasaan merempuh kediaman rasmi Hasina di Dhaka.
Protes mahasiswa yang bermula bulan lalu mendesak pemansuhan kuota dalam pekerjaan penjawat awam. Ia berubah menjadi gerakan anti kerajaan dan menyebabkan ketegangan di seluruh negara, dengan desakan terhadap peletakan jawatan Sheikh Hasina.
Susulan protes berterusan, Bangladesh menguatkuasakan perintah berkurung dan liputan internet disekat.
Sementara itu, ketua tentera Bangladesh dalam kenyataannya yang disiarkan di televisyen, berkata kerajaan sementara akan ditubuhkan.
Waker-uz-Zaman berkata beliau akan bertemu Presiden Mohammed Shahabuddin dan berharap akan mendapat mencari jalan penyelesaian hari ini, lapor BBC News.
Katanya, beliau sudah bertemu dengan parti politik pembangkang negara.
Setakat ini belum jelas siapa bakal dipilih sebagai perdana menteri. – 5 Ogos, 2024.
Komen